Negeri

65 peratus projek pembinaan semula sekolah daif di Sabah selesai – Menteri

Sebanyak 65 peratus atau 218 daripada 338 projek pembinaan semula sekolah daif telah diselesaikan di Sabah sehingga kini dalam usaha memberikan prasarana pendidikan terbaik terutama untuk anak-anak di negeri ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, sebanyak 60 projek pula sedang dalam proses pembinaan dan dijangka selesai tidak lama lagi, manakala baki 60 projek lagi sedang dalam peringkat prabina.

“Semua projek penambahbaikan ini melibatkan peruntukan lebih RM3 bilion, harap semua yang kita rancang ini dapat kita segerakan untuk memberikan kemudahan kepada anak-anak kita belajar dalam persekitaran yang lebih kondusif.

“Kementerian Pendidikan sentiasa komited memastikan semua isu pendidikan di negeri Sabah dapat ditangani. Kualiti pendidikan di Sabah akan terus ditingkatkan untuk manfaat anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Outreach Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Kota Kinabalu di Sekolah Kebangsaan Sembulan, Kota Kinabalu Sabah pada Khamis.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendapati hanya 25.6 peratus atau 386 daripada 1,505 sekolah di seluruh negara yang dikenal pasti mempunyai bangunan daif, telah dilaksanakan Projek Naik Taraf dan Pembangunan Semula Sekolah.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan berkata prestasi projek adalah rendah dengan sejumlah 123 (31.9 peratus) daripada 386 sekolah berkenaan telah siap bagi tempoh 2019 hingga 2022.

Related Articles

Back to top button