Afidavit Zahid sokong Najib jalani hukuman tahanan rumah atas kapisiti sebagai Presiden Umno – PM Anwar
Afidavit yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyokong usaha bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dibuat atas kapasitinya sebagai Presiden Umno.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam keputusan Lembaga Pengampunan dan menegaskan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong semasa mesyuarat lembaga adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.
“Itu (Zahid menyerahkan afidavit) beliau lakukan sebagai Presiden Umno dan Peguam Negara tentunya bagi pihak Lembaga Pengampunan.
“Pendirian kita bahawa semua keputusan yang melibatkan Raja-Raja Melayu tidak boleh dicabar.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ini adalah prinsip (kerajaan), bukan sekarang tapi sejak merdeka,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, hari ini.
Anwar berkata, perkara itu adalah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu.
“Saya tak mahu terlibat perbincangan soal titah adendum sebagainya, ini bidang kuasa lembaga pengampunan dan wewenang sepenuhnya Agong atau Raja-Raja Melayu.
“Sepatutnya semua pihak terima kenyataan tersebut dan terus dengan tumpuan kita untuk jamin keamanan, kuatkan kestabilan politik dan membangunkan negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Zahid memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April mendakwa melihat perintah tambahan bagi Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan rumah.
Dakwanya, beliau dimaklumkan perkara itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dalam pertemuan di kediamannya, pada 30 Januari lalu.