KBS umum syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan – Hannah
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pelepasan ini akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.
Menurut beliau, perbelanjaan yang dibenarkan adalah untuk kegunaan diri sendiri, suami isteri atau anak.
“Antara jenis pelepasan cukai individu berkaitan perbelanjaan sukan layak dituntut termasuk pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] tidak termasuk basikal dua roda bermotor.
“Selain itu, bayaran sewaan atau fi kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan dan juga bayaran fi pendaftaran bagi menyertai apa-apa pertandingan sukan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan orang ramai untuk membuat semakan awal sama ada penyedia latihan sukan mematuhi syarat dan kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Tambah Hannah, pelepasan cukai individu termasuk yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai adalah latihan secara ‘one-off’ atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas, klinik, kursus, bengkel dan sebagainya.
Ini, katanya, termasuk jenis sukan seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].
Beliau berkata, penyedia latihan mestilah persatuan, kelab sukan, syarikat berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.