Semasa

Letusan Gunung Ruang: CAAM saran syarikat penerbangan terus pantau perkembangan

Syarikat penerbangan dan pengendali pesawat disaran melakukan pemantauan berterusan perkembangan meteorologi, notis serta maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Saranan itu dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) susulan letusan gunung berapi yang berlaku di Gunung Ruang, Manado, Sulawesi Utara, Indonesia telah memberi impak kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu.

“Kesan letusan ini telah menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang
udara berkenaan.

“Orang ramai yang terlibat bagi penerbangan melibatkan kawasan berkenaan dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan mengenai perkembangan letusan gunung berapi dan status terkini jadual penerbangan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Gunung Ruang di wilayah paling luar di Indonesia itu dilapor meletus sebanyak lima kali dan mengeluarkan asap sehingga pagi Khamis menyebabkan beberapa syarikat penerbangan tempatan membatalkan beberapa penerbangan di antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak.

BACA LAGI: Kerajaan beri subsidi tiket penerbangan sempena perayaan, bantu ringan beban rakyat

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pula malam tadi dilapor telah mengoperasikan semula beberapa penerbangan yang dijadualkan.

AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan 19 penerbangan dioperasikan semula, antara lain membabitkan laluan Bintulu, Kuching, Sibu, Johor Bahru dan Kota Bharu.

“AirAsia akan terus memantau keadaan letusan Gunung Ruang dan memberi maklumat tambahan mengenai perkembangan terkini,” kata kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button