Nasib rakyat tanpa mengira kaum perlu terus dibela – PM Anwar
Kepimpinan negara perlu memberi perhatian kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucapan di Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Menteri di Padang Begonia, Angsana Mall Johor Bahru pada Khamis berkata, pembangunan pesat negara tidak akan bermakna sekiranya nasib rakyat miskin tidak dibela
“Saya dimaklumkan bahawa kini terdapat tak sampai 2,000 keluarga yang dikategorikan sebagai miskin tegar kini di Johor.
“Insya-ALLAH, Johor mampu noktahkan kemiskinan tegar dalam masa terdekat. Terima kasih kepada Kerajaan Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang sentiasa membantu golongan miskin tegar ini,” katanya.
Turut hadir pada acara itu adalah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Mengulas mengenai Johor, Anwar menyatakan rasa gembira apabila negeri itu kini mencatat pertumbuhan amat membanggakan.
“Kejayaan ini adalah kerana pemimpin negeri yang amanah dan bersih. Oleh itu, Johor perlu pastikan jangan wujud golongan yang menyakau dan amalkan rasuah dalam pentadbiran selain beri perhatian kepada semua rakyat termasuk nelayan, pemandu teksi dan buruk untuk terus berjaya,” tambahnya.
BACA LAGI: Johor tubuh Jawatnkuasa Bertindak Bagi Menangani Penyalahgunaan Kalimah Allah
Bagaimanapun menurut Anwar, beberapa program yang direncana termasuk projek tebatan banjir di Johor perlu diselesaikan supaya dapat meredakan kerisauan masyarakat.
“Beberapa progran lain seperti tebatan banjir perlu diberikan perhatian, kita tidak boleh catat pembangunan pesat jika banjir berlaku.
“Oleh itu tebatan banjir perlu diberi keutamaan dan saya minta terutama pegawai- pegawai memastikan projek itu dipantau agar dapat berjalan dengan cepat umtuk meredakan masalah dihadapi rakyat,” ujarnya.