Negeri

Sektor perusahaan kecil dan sederhana, koperasi akan terus diperkasa di Sabah – Menteri

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan kerjasama antara kementeriannya dan kerajaan negeri bagi memperkasa sektor perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah.

Beliau berkata, kerjasama itu seiring dengan hasratnya untuk memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak bagi membangunkan sektor PMKS tanpa menjejaskan fokus sedia ada dalam kementeriannya.

“Bagi mencapai matlamat itu saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya satu Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah ditubuhkan bagi menyelaras semua program berkaitan pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan pelbagai kementerian di Sabah.

“Penubuhan jawatankuasa yang melibatkan kesemua agensi persekutuan dan negeri dalam  pembangunan keusahawanan di Sabah sudah dipersetujui oleh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh saya sendiri dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

“Saya berharap penubuhan jawatankuasa penyelarasan pembangunan keusahawanan ini mencapai matlamat penubuhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin semasa majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16 Tahun 2024, di DUN Sabah.

Sementara itu, Tun Juhar turut menyatakan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan diperkukuhkan dalam melaksanakan program berimpak tinggi yang sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa usahawan di negeri itu.

Dalam pada itu, Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri dengan kerjasama dalam memperkasakan lagi usahawan di Sabah.

Related Articles

Back to top button