Semasa

Adam Adli tegur Akmal, ‘Pandang kiri kanan’ sebelum buat kenyataan

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Adam Adli menegur Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh agar berhati-hati dalam memberikan sebarang kenyataan.

Teguran itu menyusul kenyataan Akmal yang seolah-olah mempersoal pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mahu terlibat dalam urusan afidavit menyokong agar Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan hukuman penjaranya dengan menjalani tahanan rumah.

Tegas Timbalan Menteri Belia & Sukan itu, tindakan Akmal seolah-olah tidak mencerminkan dirinya kini berada dalam satu pasukan iaitu kerajaan perpaduan.

“Yang disinggung oleh saudara itu Presiden kami, Perdana Menteri kita semua. Mungkin saudara bukan “walanon” tetapi saudara tetap salah seorang Ketua Pemuda dalam gabungan parti pemerintah hari ini.

“Sebagaimana kami sepakat tonjolkan sikap hormat kepada Presiden saudara, dengan sentiasa berhati-hati memilih perkataan dan menyatakan pandangan kalau pun dalam isu yang kadang amat fundamental dan mengesankan; apa sangat harganya untuk saudara ambil sikap yang sama terhadap Presiden kami,” katanya.

Tambah Adam lagi, Akmal yang juga merupakan wakil rakyat dan pemimpin utama di Melaka, mempunyai akses untuk mendekati Anwar dengan lebih mudah.

BACA LAGI: Afidavit Zahid sokong Najib jalani hukuman tahanan rumah atas kapasiti Presiden Umno

Pada hematnya, mustahil suara Akmal untuk tidak didengari Anwar kerana mereka berada dalam ‘kapal’ yang sama sekarang.

“Mungkin saudara ada semangat tinggi untuk membela Datuk Seri Najib; itu ikrar Saudara yang kita tidak pernah larang kalau pun ada berbeza pandangan – cuma percayalah, menimbulkan suasana yang cenderung memulakan pergeseran sebegini tidak membantu pun dalam mencapai apa yang terbaik buat semua,” kata Adam di media sosialnya.

Related Articles

Back to top button