Semasa

Cadangan tambah baik struktur gaji penjawat awam hampir selesai – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan cadangan penambahbaikan gaji penjawat awam pada perhimpunan Hari Pekerja Mei ini.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya Anwar berkata, ia termasuk usaha-usaha yang bakal dilaksana untuk meningkatkan kadar pendapatan bersih golongan tersebut.

Tambahnya, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 yang pengerusikannya semalam hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 hari ini bagi membincangkan secara lebih lanjut berhubung struktur gaji penjawat awam.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Insya-Allah, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti.

“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujar beliau.

BACA LAGI: Kerajaan usaha naikkan gaji penjawat awam sebelum akhir 2024

Melalui hantaran itu juga Anwar menegaskan, kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab tersebut dengan mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah.

“Saya ingin tegaskan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, disebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia,” katanya.

Related Articles

Back to top button