ekonomi

Kerajaan MADANI komited pacu ekonomi negara dalam sektor berimpak tinggi

Kerajaan Madani komited untuk memacu perkembangan ekonomi negara khususnya dalam sektor-sektor berimpak tinggi dan inovasi serta menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebooknya berkata, bagi tujuan itu kerajaan sedang melihat keperluan bagi merangka dasar dan meminda sebarang perundangan yang berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan Malaysia sentiasa mesra pelabur dan dapat menyokong perkembangan infrastruktur teknologi tersebut.

Bagaimanapun, tegasnya, aspek keselamatan data perlu diberikan keutamaan.

“Malaysia perlu segera mengadaptasi landskap ekonomi semasa untuk terus berkembang supaya sentiasa kompetitif dalam rantau ini dengan menarik pelaburan daripada syarikat dalam sektor teknologi, AI dan blockchain,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sedemikian susulan perbincangan yang diadakan pada Jumaat menerusi persidangan video dengan pengasas bersama syarikat Tools for Humanity (TFH) Sam Altman dan Alex Blania, serta Ole Ruch dari Nordstar yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Perbincangan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu menyentuh beberapa perkara berkaitan dengan kemajuan teknologi yang berkembang pantas.

BACA LAGI: Pelan strategi dirangka, kerajaan pastikan Malaysia jadi destinasi industri semikonduktor

“TFH turut memaklumkan perkembangan projek Worldcoin, inisiatif terkini berkaitan identiti dan rangkaian kewangan global serta inklusif dengan mengutamakan ciri-ciri kerahsiaan dan memberi perlindungan kepada informasi persendirian,” tambahnya.

Melalui hantaran sama Anwar turut menjelaskan, Malaysia telah mempunyai Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 dan Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025 sebagai satu hala tuju yang berpotensi mempercepatkan adaptasi AI dalam sektor awam dan swasta.

Related Articles

Back to top button