Global

Malaysia kecewa AS guna veto halang Palestin sebagai anggota penuh PBB

Tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menghalang kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecewakan Malaysia.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menerusi kenyataan menegaskan pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan itu sangat membimbangkan dan menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB untuk merealisasikan hak-hak rakyat Palestin.

“Malaysia bimbang dan amat kecewa susulan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh PBB pada 18 April 2024, walaupun terdapat sokongan daripada sebahagian besar negara anggota PBB.

“Pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan ini menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB untuk merealisasikan hak rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sejak 1967,” katanya.

Terdahulu, AS gunakan kuasa veto bagi menolak usul PBB untuk mengiktiraf negara Palestin.

Pengundian yang dilakukan dalam sidang Majlis Keselamatan PBB (UNSC) itu secara langsung menafikan Palestin keahlian penuh dalam badan dunia itu.

AS berkata, sebuah negara Palestin yang merdeka harus ditubuhkan melalui rundingan terus antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin dan bukan melalui tindakan PBB.

BACA LAGI: Ops Ihsan lancar kempen, seru masyarakat dunia bersolidariti demi Palestin

Sementara itu Wisma Putra melalui kenyataan sama menegaskan, Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Justeru Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di PBB.

Related Articles

Back to top button