PM Anwar hulur sumbangan, bantu rawatan adik Nur Khayla Azzahra di China
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menunjukkan sikap dermawan yang wajar dicontohi semua rakyat di negara ini.
Terbaharu, beliau menghulurkan sumbangan kepada Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham yang menghidap penyakit Biliary Atresia atau kerosakan pada hati sejak lahir hari ini.
Menerusi catatan dalam Facebook pada Jumaat, Anwar berkata sumbangan berkenaan disampaikan Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi yang mewakilinya bertemu kanak-kanak berusia 20 bulan dan keluarganya.
Sumbangan itu menurut Anwar untuk membantu menampung kos perubatan dan perjalanan mereka ke China.
“Sama-sama kita doakan agar Nur Khayla selamat jalani pembedahan dan segera sembuh, Insya-Allah,” ujar Anwar yang juga Presiden KEADILAN.
BACA LAGI: Farhan santuni aktivis awal reformasi, serah sumbangan Anwar kepada Cik Lan
Anwar melalui hantaran tersebut turut memuat naik gambar pertemuan Ahmad Farhan dan keluarga Nur Kayla.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.