Politik

Tiada nama spesifik dibincang terkait kempimpinan KEADILAN Sabah – Fahmi

Keputusan bagi menyelesaikan kemelut Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN diadakan pada Ahad.

Ketua Penerangan KEADILAN, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, tiada nama spesifik yang dibincangkan berkaitan kepimpinan MPN KEADILAN Sabah pada pertemuan khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu mungkin akan dibawa ke peringkat kepimpinan pusat pada esok.

Proses pemilihan Pengerusi MPN PKR negeri, menurut beliau adalah sama seperti proses yang berlaku sebelum ini di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, dengan Sabah juga tidak terkecuali, iaitu akan dibincangkan di peringkat pusat.

“Mengikut proses, Presiden parti (Anwar) perlu mengadakan sesi konsultasi bersama Ketua Cabang dan proses itu telah berjalan. Selepas ini, Presiden mengikut kelaziman akan bawa hasil perbincangan dan keputusan ke mesyuarat pimpinan pusat, dan mesyuarat berikutnya diadakan esok.

“Terpulang kepada Presiden. Kita ada mesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan. Bergantung kalau Presiden merasakan perlu sedikit masa untuk berbincang lanjut mungkin mengenai Sabah atau MPN negeri lain yang ingin disekalikan. Mungkin kita akan dapat keputusan esok atau mesyurat MPN akan datang,” katanya.

Terdahulu, Fahmi menghadiri perjumpaan khas Anwar bersama MPN KEADILAN Sabah di Kota Kinabalu, yang turut dihadiri Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dan Pengerusi MPN KEADILAN Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam.

Related Articles

Back to top button