Semasa

Institusi dibawah KPM diminta patuh garis panduan aktiviti luar bilik darjah

Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diminta untuk sentiasa mematuhi garis panduan penganjuran aktiviti luar bilik darjah.

Kementerian itu melalui satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan pihaknya komited memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid sentiasa diberi perhatian.

Kenyataan itu menyusul insiden seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Kuala Pilah meninggal dunia ketika menyertai aktiviti merentas desa pada Jumaat.

“KPM menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Nuqman Naufal Shamsul Fadzli.

“KPM menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga Allahyarham Nuqman Naufal. Pada masa sama, KPM telah mengambil tindakan segera untuk memberi bantuan kebajikan kepada pihak keluarga,” kata kenyataan itu.

BACA LAGI: Ibu bapa perlu jujur maklum tahap kesihatan anak kepada sekolah

Nuqman Naufal,14 yang menyertai acara larian sejauh tujuh kilometer itu meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri beberapa meter sebelum sampai ke garisan penamat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah DSP Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata berdasarkan keterangan bapa pelajar, remaja itu menghidap penyakit jantung berlubang pada 2016 dan masih dibekalkan ubat daripada Institut Jantung Negara (IJN).

Related Articles

Back to top button