Global

Malaysia-Thailand kukuh kerjasama benteras jenayah, promosi sektor pelancongan

Malaysia dan Thailand telah bersetuju mempertingkatkan kerjasama bagi membanteras jenayah rentas sempadan, isu pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persetujuan itu hasil mesyuarat dua hala antara beliau dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand Anutin Charnvirakul pada Khamis.

“Kami berdua bersetuju bahawa kerjasama antara kerajaan (G2G), antara polis dan Aseanapol penting dalam memerangi masalah-masalah tersebut,” katanya sebagai mengulas lawatan kerja ke Bangkok yang berakhir pada Jumaat.

Sementara itu Saifuddin memaklumkan pada mesyuarat itu Anutin turut menegaskan kesediaan Thailand bekerjasama untuk mempromosikan sektor pelancongan antara dua negara melalui cadangan pengecualian visa kepada pelawat asing khususnya di kawasan yang bersempadan dengan Malaysia.

“Anutin turut menyatakan komitmen untuk memperdalamkan kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai dimensi, termasuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di rantau ini.

“Pertemuan itu menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

BACA LAGI: Kajian terperinci perlu dilakukan dulu sebelum benarkan pelarian bekerja – Saifuddin

Selain bertemu Anutin, Saifuddin turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Varawut Silpa-archa semasa lawatannya.

Dalam pertemuan dengan Varawut, Saifuddin berkata mereka telah membincangkan topik berhubung penahanan imigresen dan perlindungan kanak-kanak yang mana Malaysia mempunyai 20 depot imigresen dengan penghuni seramai 13,000 orang dan keupayaan depot imigresen boleh menampung lebih kurang 25,000 orang.

Related Articles

Back to top button