Nasional

Tahap keselamatan jemaah haji jadi keutamaan kerajaan – Menteri Agama

Keselamatan jemaah haji sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan Tabung Haji (TH), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, kerajaan dan TH bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah negara itu bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah haji Malaysia.

Menurutnya, jemaah haji boleh menjalankan ibadah haji dengan tenang dan dinasihatkan supaya tidak khuatir dengan konflik peperangan yang berlaku di Timur Tengah.

“Jaminan daripada Kementerian Haji dan Umrah pada saya, mereka nak pastikan bahawa apa sahaja musibah yang berlaku, mereka ini sudah ada alternatif yang mereka akan lakukan.

“Apa yang penting untuk jemaah haji, dengan niat yang kita ada untuk menunaikan haji, kita sama-sama doakan Allah mudahkan dan beri keselamatan kepada kita,” katanya selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan, pada Sabtu.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata, seramai hampir 600 petugas TH akan digerakkan ke Arab Saudi, bagi memudahkan urusan jemaah haji kelak.

Beliau berkata, semua petugas tersebut telah diberikan kursus sebagai persediaan sebelum mereka berlepas ke tanah suci.

“Saya amat berharap para jemaah haji Malaysia sentiasa menjaga disiplin dan sentiasa patuh kepada peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan juga TH.

“Petugas TH akan memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan jemaah haji tahun ini, mudah urusan mereka daripada semua aspek meliputi aspek ibadat, kesihatan dan kebajikan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan bakal haji supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dengan melakukan senaman ringan dan mengambil makanan yang sihat, agar terus kekal sihat sepanjang berada di tanah suci.

Related Articles

Back to top button