Usaha PM bawa pulang keluarga Nadir Al-Nuri dapat pujian, bukti semangat kebersamaan rakyat Malaysia – ABIM
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memuji usaha dilaksana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu membawa keluar keluarga aktivis kemanusiaan Nadir Al-Nuri dari Gaza ke Malaysia.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, usaha itu mendapat sokongan hebat masyarakat dan respon dalam kalangan pemimpin pembangkang yang turut mengalu-alukan usaha diplomatik dan berterima kasih atas inisiatif kemanusiaan itu.
Situasi itu jelasnya telah menyerlahkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun pelbagai gembar gembur isu-isu dan polemik semasa berlaku kebelakangan ini.
“Keadaan ini meyakinkan ABIM bahawa perpaduan boleh dirintis atas perkongsian matlamat dan nilai-nilai kebersamaan.
“Selain itu, sikap mencari titik persamaan dalam semua aspek, bertoleransi dalam menangani perbezaan ‘agree to disagree’,bersepakat dan sependapat dalam menghadapi dugaan serta cabaran,” jelasnya pada Sabtu.
Sementara itu tambah Ahmad Fahmi, ketegasan ditunjukkan Malaysia kebelakangan ini dalam memperjuangkan isu Palestin telah membawa satu naratif dan nafas baharu dalam mendokong suara masyarakat antarabangsa yang masih mempunyai nilai kemanusiaan.
NACA LAGI: Kejayaan bawa keluar keluarga Nadir Al-Nuri dari gaza bukti kebijaksanaan PM Anwar
Justeru tambahnya, dengan keadaan yang semakin getir dihadapi penduduk Gaza serta situasi pergolakan yang berlaku di Timur Tengah ketika ini, adalah penting setiap kelompok rakyat Malaysia bersatu serta menguruskan perbezaan terutamanya persepsi politik secara sederhana dan murni agar dapat terus bersolidariti bersama rakyat Palestin.