Negeri

Zambry gesa isu bekalan air di UMS ditangani segera

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa gerak kerja untuk mengatasi isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diselesaikan segera bersama kerajaan negeri serta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat mengambil berat isu berkenaan yang turut disentuhnya dalam taklimat pembangunan Sabah sempena lawatan seharinya ke Negeri di Bawah Bayu itu, pada Sabtu.

Menurut Zambry, menerusi peruntukan RM3 juta diumum Perdana Menteri ditambah RM2 juta olehnya dalam lawatan Januari lalu, sembilan telaga tiub siap dibina di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) sekali gus meningkatkan bekalan air sebanyak 1 juta liter sehari (JLH).

Bagaimanapun, katanya jumlah itu tidak mencukupi kerana keperluan 22,000 penuntut selain kakitangan UMS adalah 5 JLH, menyebabkan masalah bekalan air terus berlarutan.

“Masalah utama air di UMS ini ialah bekalan tidak mencukupi dan ini diuruskan JANS.

“Saya difahamkan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan kerajaan Sabah sedang bersungguh-sungguh memastikan saluran air mencukupi dapat dibekalkan ke UMS dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam hantaran di Facebook berhubung lawatan mengejutnya ke UMS.

Lawatan mengejutnya itu turut disertai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Tambah Zambry, perancangan bagi menyelesaikan isu bekalan air di kampus UMS sedikit terencat ekoran beberapa masalah lain yang timbul.

Beliau berkata, antara masalah yang timbul ialah isu bekalan air yang diuruskan oleh JANS tidak mencukupi, tekanan air yang rendah serta isu non-revenue water (NRW) di paip-paip kawasan luar menyebabkan bekalan air tidak sampai kepada pengguna di UMS.

Terdahulu, Anwar telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menyelesaikan krisis air di kampus UMS dan tambahan RM2 juta lagi diluluskan oleh Zambry.

Related Articles

Back to top button