Kerajaan sedia dana RM100 juta bantu koperasi agromakanan
Kerajaan memperuntukkan dana RM100 juta untuk membiayai penubuhan koperasi berkait sektor agromakanan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif tersebut yang disalurkan melalui kementeriannya bertujuan menangani masalah kekurangan bekalan makanan negara.
“Saya menggalakkan masyarakat dapat memulakan penubuhan koperasi setempat untuk terlibat dalam aktiviti pertanian, penternakan, perladangan dan aktiviti lain di bawah sektor agromakanan.
“Penubuhan koperasi yang terlibat dalam sektor agromakanan boleh membantu rantaian bekalan dan keterjaminan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui kenyataan itu beliau memaklumkan Inisiatif itu akan dilaksanakan melalui Tabung Modal Pusingan yang akan dikelola Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
BACA LAGI: KUSKOP ganda usaha, tarik penyertaan belia dalam koperasi
Beliau sementara itu memaklumkan, SKM mendaftarkan 1,001 koperasi baharu pada 2023, yang merupakan jumlah sejarah pendaftaran tertinggi dalam satu tahun.
Justeru KUSKOP dan agensi di bawahnya termasuk SKM bersedia membantu koperasi-koperasi terutama yang sudah mula berniaga untuk mengembangkan perniagaan mereka.