Semasa

KKM, KPM bakal kerjasama teliti semula SOP aktiviti luar bilik darjah

Insiden pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam, Negeri Sembilan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa wajar dijadikan iktibar, kata Menteri Kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, susulan itu Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) lebih tuntas dan berkesan berkaitan aktiviti luar bilik darjah di semua sekolah seluruh negara.

“Saya pada awal sudah menegur perkara ini, namun mungkin tidak ada satu tindakan yang tegas, tuntas dan jelas.

“Bagi saya, perlu ada satu SOP yang jelas mengenainya,” katanya.

Dr Dzulkefly ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Puncak Alam pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, terlibat dalam kejohanan merentas desa peringkat sekolah melibatkan jarak tujuh kilometer bersama dengan kira-kira 700 orang pelajar lain.

Berdasarkan keterangan bapa pelajar, remaja itu menghidap penyakit jantung berlubang pada 2016 dan masih dibekalkan ubat daripada Institut Jantung Negara (IJN).

BACA LAGI: Institusi dibawah KPM diminta patuh garis panduan aktiviti luar bilik darjah

Sementara itu Dr Dzulkefly berkata, beliau yakin Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah Jabatan Pendidikan akan meningkatkan penguatkuasaan SOP berkenaan bagi mengelak insiden sama berulang.

Related Articles

Back to top button