Global

Misi bantuan melalui jalan laut ke Gaza, tiga buah kapal akan memulakan pelayaran pada 24 April ini

Freedom Flotilla Coalition (FFC) mengesahkan tiga kapal yang terlibat dalam misi ‘Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024’ akan memulakan pelayaran pada 24 April ini.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright menerusi taklimat ringkas kepada semua peserta terlibat di Istanbul pada Jumaat lalu.

“Kita menerima banyak indikasi pertamanya daripada aspek politik dan aspek teknikal kapal, bagi anda yang berkesempatan menaiki kapal pada sidang media hari ini, banyak perkara yang perlu disiap sebelum pelayaran dimulakan.

“Walaupun kita mempunyai tenaga kerja seramai 35 orang yang bekerja 24 jam untuk menyiapkan kapal-kapal ini, namun ia tetap tidak dapat memulakan pelayaran pada tarikh yang dijadualkan sebelum ini (21 April, 2024),” katanya.

Terdahulu media melaporkan beberapa buah kapal terlibat dalam misi ini melibatkan satu kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang memuatkan lebih 1,000 orang.

Kapal-kapal ini membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaan termasuk lapan buah ambulans.

Wright juga menegaskan misi ini tetap diteruskan sekiranya konflik antara Israel dengan Iran terus meningkat dalam tempoh beberapa hari mendatang.

Beliau berkata, apa-apa sahaja yang berlaku melibatkan dua negara tersebut tidak sesekali menjejas perancangan FFC untuk menghantar bantuan kemanusiaan yang mendesak kepada penduduk di Gaza.

Seramai 20 warga Malaysia ketika ini menyertai masyarakat awam antarabangsa melakukan pelayaran menaiki flotila untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Related Articles

Back to top button