Teknologi

Pengumuman penting terkait 5G dalam masa terdekat – Menteri

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, beberapa pengumuman penting mengenai rangkaian 5G dijangka diumumkan pada hujung bulan ini atau awal Mei.

Fahmi berkata, beliau dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin antaranya untuk membincangkan perkara yang perlu dilaksana bagi memastikan kadar penggunaan rangkaian itu terus mencapai tahap yang suai manfaat atau sesuai dengan perkhidmatan yang telah disediakan.

Beliau berkata, pertemuan itu turut membabitkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

“Insya-ALLAH dalam masa terdekat, harapan saya menjelang hujung bulan ini atau awal bulan depan, kita akan ada beberapa pengumuman penting dan besar mengenai rangkaian 5G.

“Saya harap dengan adanya perkhidmatan 5G ini, rakyat akan mendapat manfaatnya,” kata beliau ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembah Pantai 2024 di IWK Eco Park@Lembah Pantai pada Ahad.

Fahmi berkata, pertemuan beliau dengan Anwar dan pihak terlibat dalam perkhidmatan 5G antara lain bagi meneliti ikhtiar atau insentif yang boleh diberikan dalam usaha meningkatkan penerimagunaan pelaksanaan rangkaian itu dalam kalangan pihak industri.

“Penggunaan (5G) dalam kalangan rakyat biasa atau pengguna komersial cukup baik pada waktu ini. Saya belum ada angka terkini namun jumlah sebelum ini memberangsangkan dengan peningkatan yang cukup baik.

“Usaha dan ikhtiar mungkin perlu dilakukan yang mengkhususkan sektor industri kerana seperti ditetapkan dalam dokumen Pelan Induk Perindustrian Baharu yang menekankan aspek teras digital akan memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri terutama yang memacu pertumbuhan ekonomi negara ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, banyak yang perlu dilakukan berhubung perkhidmatan 5G untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan luar sama ada dalam sektor semikonduktor atau sektor pusat pemprosesan data yang menyaksikan negara menjadi destinasi yang semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Related Articles

Back to top button