Umum

Agong, Perdana Menteri zahir takziah buat keluarga mangsa helikopter terhempas

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian itu.

“Saya dan Raja Zarith Sofiah berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini. Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Sultan Ibrahim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacitanya terhadap tragedi yang menimpa 10 mangsa yang terbabit dalam nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada Selasa.

Menerusi satu ciapan di akaun X miliknya, beliau mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dan berdoa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah tersebut.

“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.

“Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka dan semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa.

Terdahulu, dua helikopter TLDM dilaporkan bertembung ketika latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaya ke-90.

Susulan itu, TLDM telah mengesahkan insiden berkenaan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan bahawa insiden tersebut melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

Related Articles

Back to top button