Semasa

ATM tubuh lembaga siasatan cari punca kejadian

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan lembaga penyiasatan untuk menyiasat kemalangan helikopter di Lumut, Perak.

Bercakap kepada pemberita, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memaklumkan lembaga tersebut dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan secara terperinci berhubung insiden itu.

“Kita akan tubuh Lembaga Penyiasatan dan penubuhan (Lembaga Penyiasatan) ini adalah perkara normal dalam sebarang insiden,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Kelab Menembak dan Combat Adventure Fields, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada kesemua keluarga mangsa yang terkorban.

Dalam nahas pagi tadi, kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di pangkalan Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut itu dilaporkan sedang menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Berdasarkan laporan, dua helikopter itu telah berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi.

Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di udara sebelum masing-masing terhempas di tangga Stadium Pangkalan TLDM dan berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Related Articles

Back to top button