Semasa

Hari Bumi Sedunia 2024: Kerajaan sedang usahakan dasar berkaitan sisa plastik – NRES

Kerajaan sedang mengusahakan dasar kebangsaan mengenai pengeluaran, penggunaan dan sisa plastik berdasarkan Perjanjian Plastik Global (GPT).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad melalui satu kenyataan berkata, Malaysia setakat ini sudah mengambil bahagian dalam empat pusingan rundingan antarabangsa mengenai GPT.

“Seperti diketahui umum, sisa plastik memerlukan sekurang-kurangnya 500 tahun untuk diuraikan secara semula jadi.

“Perkara ini tidak boleh dipandang entang dan memerlukan kerjasama semua pihak dalam mengurus dan menangani pencemaran plastik,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Bumi bertemakan ‘Planet vs Plastics’ pada Isnin.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, penglibatan Malaysia dalam rundingan GPT antara lain untuk Membangunkan Instrumen Antarabangsa Yang Mengikat Secara Sah mengenai Pencemaran Plastik, Termasuk dalam Alam Sekitar Marin (INC).

Selaras dengan agenda kelestarian alam, kerajaan jelasnya turut mempunyai Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia (2021-2030) dan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna (2018-2030).

“Saya berharap agar hebahan dan promosi bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar terus dipertingkat.

“Saya juga telah mengarahkan agar undang-undang yang mengawal pencemaran plastik disemak semula untuk mengukuhkan langkah-langkah menangani pencemaran plastik,”tambahnya.

BACA LAGI: Jabatan Perikanan komited atasi isu pencemaran plastik

Dalam kenyataan sama Nik Nazmi turut memberitahu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ketika ini mengetuai delegasi Malaysia ke siri rundingan INC keempat (INC-4) yang bermula hari ini hingga 29 April ini di Ottawa, Kanada.

Related Articles

Back to top button