Semasa

Kewujudan sekolah model khas berjaya tangani isu keciciran pelajar Orang Asli – Fadhlina

Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya mengurangkan keciciran pelajar di kawasan pedalaman khususnya membabitkan masyarakat Orang Asli .

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kejayaan itu susulan penubuhan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) bagi kemudahan pelajar yang berada di kawasan pendalaman.

“Sekolah K9 dan K11 (penubuhan) adalah komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) yang memberikan tumpuan sekolah rendah dan sekolah menengah dalam satu bangunan dan kawasan.

“Kejayaan itu dapat dibuktikan apabila kehadiran murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai (JHEOA) K9, di sini mencapai 100 peratus, hasil sokongan ibu bapa dan guru.

“Oleh itu, KPM akan terus memperluas sekolah K9 dan K11 di seluruh negara yang melibatkan anak-anak Orang Asli dan pribumi, agar mereka tidak keciciran pendidikan,” katanya.

BACA LAGI: KPM umum inisiatif intervensi kurikulum tangani isu keciciran

Fadhlina sebelumnya hadir ke Program Jelajah Pendidikan MADANI Sekolah Murid Orang Asli di Gua Musang, Kelantan dan mengadakan tinjauan di sekolah tersebut.

Mengenai infrastruktur SK Sri Permai susulan terdapat beberapa bangunan kelas yang lantainya runtuh disebabkan aliran air bawah tanah, beliau berkata perkara berkenaan akan diberi tumpuan dan sekolah itu juga akan diberikan tapak baharu.

Related Articles

Back to top button