PM Anwar umum RM3 bilion pelaburan untuk syarikat inovatif, berpertumbuhan tinggi
Khazanah Nasional melancarkan ‘National Fund-of Funds’ dengan peruntukan awal RM1 bilion ke dalam ekosistem syarikat berinovatif dan berpertumbuhan tinggi
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkembangan itu ketika merasmikan Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.
“Dalam hal ini, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Khazanah Nasional akan melancarkan ‘National Fund-of Funds’ dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif,” katanya.
Pada ucapannya Anwar turut menegaskan, kerajaan sentiasa komited dalam membentuk ekosistem pemula yang dinamik agar dapat memposisikan Malaysia sebagai hab utama untuk keusahawanan dan Inovasi.
Justeru beliau berharap sidang kemuncak itu menjadi forum untuk memudah cara syarikat-syarikat permula dalam pelaburan bernilai tinggi dan mengalakkan syarikat permula untuk berkembang ke luar negara dengan memanfaatkan rantaian ekosistem global yang lengkap.
“Saya menghargai perkongsian daripada wakil-wakil syarikat modal teroka dan pelabur yang hadir. Adalah penting supaya dasar-dasar Kerajaan mengambil kira perspektif dan strategi jangka panjang mereka,” tambah Anwar.
BACA LAGI: Malaysia jadi pemangkin ekosistem teknologi terbaik
Sidang Kemuncak KL20 2024, yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi, bakal merangsang semula kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk pemula dan pemodal teroka, serta mengangkat Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 hab pemula terbaik global menjelang 2030.
Lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka menghadiri acara tersebut.
Pada ucapannya, Anwar turut mengumumkan beberapa pelaburan dalam usaha merancakkan lagi industri syarikat pemula di Malaysia.
Ini termasuk pelaburan berjumlah RM3 bilion dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN meliputi Khazanah, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), dan Blue Chip Venture Capital.