Politik

PRK Kuala Kubu Baharu: BN tiada masalah sokong Kerajaan Perpaduan – Zambry

Barisan Nasional (BN) tiada masalah untuk menyokong calon daripada mana-mana parti membentuk Kerajaan Perpaduan yang diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan berkata, calon dipilih adalah berdasarkan persefahaman bersama dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau parti komponen lain.

“Kerajaan Perpaduan terbina atas asas persefahaman dan kerjasama. Asas itu perlu dijaga sebaiknya. Adalah penting untuk kita mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang akan mengeruhkan asas perpaduan dan persefahaman dalam kerajaan ini,” katanya.

Zambry berkata, semua pihak perlu berfikir daripada pelbagai sudut sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan dan setiap permasalahan perlu diselesaikan secara kolektif dan perbincangan secara dalaman antara parti terlibat.

Katanya, BN juga tidak akan membiarkan pembangkang memenangi PRK itu dan berusaha memenangkan calon Kerajaan Perpaduan dengan pendekatan berbeza serta sesuai.

“Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah memberikan komitmen beliau serta BN untuk memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan.

“BN akan menyusun gerak kerja untuk dilaksanakan dengan baik di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan dan memastikan pengundi menunaikan hak mengundi sekali gus memberi kemenangan buat calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tambah beliau, PRK Kuala Kubu Baharu akan memberikan satu dimensi baharu terutamanya dalam konteks politik kesederhanaan dan kestabilan negara.

“Politik kesederhanaan ini penting untuk menjamin kelangsungan dan usaha Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kestabilan negara, mengamalkan prinsip sederhana dan kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar berkata, komponen BN mempunyai tanggungjawab membantu dan memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu kerana BN adalah sebahagian Kerajaan Perpaduan.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Related Articles

Back to top button