Negeri

Sultan Mizan titah Kerajaan Terengganu tingkat kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan kerajaan negeri dipimpin Pas mengambil pendekatan komprehensif merancang pengurusan kewangan yang efektif dalam menghadapi cabaran ekonomi.

Baginda menerusi titah bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu pada Isnin menegaskan pendekatan itu antaranya dengan memperkasakan jalinan kerjasama dengan kerajaan persekutuan.

Baginda bertitah melalui jalinan kerjasama bersama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri perlu menyusun strategi jangka pendek, sederhana dan panjang secara komprehensif bersama jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di negeri ini.

“Kerjasama ini merangkumi perancangan cadangan projek-projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan berakhir pada 2025.

“Seterusnya kesinambungan perancangan ini hendaklah diteruskan bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan bermula pada 2026. Perancangan dan tumpuan yang teliti bagi perkara ini pastinya memberikan impak secara terus terhadap kesejahteraan rakyat Beta,” titah Sultan Mizan.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI salur hampir RM1 bilion wang ihsan kepada Kelantan, Terengganu

Dalam pada itu, Sultan Mizan menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan secara mampan melalui Pelan Strategi Pertanian 2019 hingga 2023 yang mencatatkan peningkatan sebanyak 39% pendaratan ikan marin.

Justeru itu, baginda mahu agar program yang dirancang terus diperkasakan dengan kerjasama kerajaan persekutuan menerusi pemfokusan kepada program pembangunan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu.

Related Articles

Back to top button