Sukan

Tunku Mahkota Ismail luang masa bertemu lagenda bola sepak dunia, Luis Figo di Sepanyol

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim meluangkan masa bertemu dengan legenda bola sepak dunia, Luis Figo di Sepanyol.

JDT dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, perjumpaan itu bagi membincangkan beberapa perkara mengenai pembangunan bola sepak dengan Figo yang kini merupakan penasihat bola sepak dan duta Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

“DYAM Pemangku Sultan Johor dan Figo turut membincangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan dan pembangunan bola sepak.

“Baginda juga menjemput Figo ke Johor Bahru untuk berbincang dengan lebih lanjut bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada bola sepak di Johor dan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, JDT meneruskan kecemerlangan dalam kempen pramusim di Alicante, Sepanyol dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas membelasah Club Costa City 7-0 di Stadium Olimpik Camilo Cano pada Isnin.

Tambah menarik, ketujuh-tujuh gol Harimau Selatan itu dijaringkan oleh pemain tempatan dengan Ramadhan Saifullah menjaringkan hatrik serta dua pemain dari Akademi JDT berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring.

Ramadhan berjaya melakukan hatrik menerusi tiga jaringan pada minit keenam, 65 dan 73 manakala G.Pavithran dan Gabriel Nistelrooy masing-masing membuka akaun jaringan bersama skuad senior dengan Nazmi Faiz menambah satu lagi gol untuk kemenangan besar Harimau Selatan.

Sejak berada di Sepanyol, JDT sudah mencatat tiga kemenangan dan menjaringkan 13 gol dengan gawang mereka hanya dibolosi sekali sekaligus menggambarkan kekuatan Harimau Selatan musim ini.

Related Articles

Back to top button