Global

Asia muncul benua paling teruk dilanda bencana alam sepanjang 2023 – PBB

Asia muncul benua paling teruk dilanda bencana alam sepanjang tahun 2023, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, dengan banjir dan ribut mengakibatkan kematian ramai serta kerugian ekonomi.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menerusi laporannya berkata, suhu global mencecah paras tertinggi tahun lepas, manakala benua Asia memanas pada kadar yang sangat pantas.

“Banyak negara di rantau ini mengalami tahun terpanas mereka dalam rekod pada 2023 di samping keadaan ekstrem, daripada kemarau dan gelombang panas kepada banjir serta ribut.

“Ia seterusnya memberi kesan mendalam kepada masyarakat, ekonomi dan yang paling penting, kehidupan manusia serta persekitaran tempat kita tinggal,” kata Ketua WMO, Celeste Saulo.

Laporan Keadaan Iklim di Asia 2023 menyerlahkan kadar pecutan pentunjuk perubahan iklim utama seperti suhu permukaan, penurunan glasier dan kenaikan paras laut.

“Asia kekal sebagai benua paling teruk dilanda bencana di dunia daripada termasuk cuaca, iklim dan air pada 2023,” kata WMO dalam laporan berkenaan.

Sepanjang tahun 2023, 79 bencana berkaitan air dilaporkan di serata Asia.

Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus adalah banjir dan ribut, dengan lebih 2,000 kematian dan sembilan juta orang terjejas secara langsung.

“Banjir merupakan punca utama kematian dalam kejadian-kejadian yang dilaporkan pada 2023 dengan margin yang besar,” kata WMO. – AFP

Related Articles

Back to top button