hiburan

Kebajikan terbela, Finas taja caruman SKSPS bagi 4,500 penggiat seni

Kebajikan penggiat seni tempatan semakin terbela dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semalam.

Melalui MoU itu, FINAS akan menaja 4,500 penggiat seni tanah air di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso dengan caruman RM23.30 bagi setiap orang, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM104,850.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika mengulas perkara itu berkat, tajaan itu adalah 10 peratus daripada jumlah caruman SKSPS bernilai RM232.80 setahun yang perlu dibayar oleh setiap pencarum bagi skim perlindungan berkenaan.

“… jumlah RM232.80 itu untuk setahun, jadi pecah kepada 12 bulan, itulah jumlah yang anda bayar setiap bulan. Untuk tahun ini, 90 peratus dibayar oleh kerajaan manakala 10 peratus lagi oleh Finas, jadi penerima (penggiat seni) tidak perlu bayar apa-apa (untuk tempoh setahun),” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di Kuala Lumpur.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dengan disaksikan oleh Fahmi serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman.

BACA LAGI: Mekanisme caruman Perkeso untuk ‘stringer’ diteliti – Fahmi Fadzil

Fahmi sementara itu menjelasnya, beliau turut bercadang menggunakan konsep sama bagi membantu kumpulan seni muzik yang masih di peringkat kajian.

Related Articles

Back to top button