Semasa

KPWKM ucapan takziah, beri sokongan psikologi kepada keluarga mangsa nahas helikopter

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bakal memberikan bantuan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak semalam.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ditemui pemberita dalam satu acara di Seremban merakamkan ucapan takziah kepada kesemua keluarga anggota TLDM terlibat.

Ketika ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jelasnya sedang mendapatkan maklumat terperinci berkaitan keluarga mangsa daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) .

“Kita (KPWKM) ucapkan takziah kepada keluarga 10 mangsa.

“Kita tahu dalam kesukaran seperti ini, mereka mungkin memerlukan orang lain untuk membantu menenangkan dan memberi sokongan kepada mereka, kita akan sentiasa dan boleh membantu keluarga mangsa.

“Selepas maklumat dikumpulkan, kita akan menghantar kaunselor daripada kementerian untuk mendengar dan bantu keluarga berkenaan,” katanya.

BACA LAGI: ATM tubuh lembaga siasatan cari punca kejadian

Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam insiden pada 9.32 pagi Selasa yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.

Difahamkan nahas itu berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

Related Articles

Back to top button