Pas puji tindakan pantas Menteri Pertahanan kendali tragedi dua helikopter TLDM terhempas
Parti Islam Se-Malaysia (Pas) memuji tindakan pantas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin dalam mengendalikan tragedi dua helikopter terhempas yang mengorbankan 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa.
Merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya turut mengalu-alukan tindakan menteri termasuk membatalkan acara sambutan ulang tahun ke-90 TLDM dan digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat Jumaat ini.
“Pas juga menyambut baik jaminan beliau untuk bukan sahaja membantu menguruskan jenazah mangsa, tetapi juga mengurus semua manfaat serta faedah yang sewajarnya diterima oleh balu dan keluarga mangsa bagi menjaga kebajikan mereka.
“Walaupun tidak menetapkan had masa untuk menyediakan laporan interim kejadian, jaminan menteri untuk melakukannya, selain keputusan kementerian untuk menubuhkan sebuah lembaga siasatan TLDM bagi mengenal pasti punca kejadian adalah langkah yang tepat dan sewajarnya disegerakan tanpa lengah,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, dua helikopter TLDM dilaporkan bertembung ketika latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaya ke-90.
TLDM telah mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam insiden pada 9.32 pagi Selasa yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.