Nasional

PETRA hampiri capai 98 peratus liputan akses air bersih, pembentungan di kawasan luar bandar – Akmal Nasir

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berada di landasan tepat untuk mencapai 98 peratus liputan air bersih dan pembetungan di kawasan luar bandar menjelang akhir 2025, kata Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, setakat ini, liputan akses bekalan air di bandar dan luar bandar mencapai 97.1 peratus, manakala perkhidmatan pembetungan meliputi 84.4 peratus di empat bandar utama.

“Sememangnya industri air ini satu industri yang dinamik. Maka sebab itu kementerian (PETRA) apabila meneliti daripada segi apa yang telah dilaksanakan dan dalam progres (kemajuan), kita menjangkakan kita boleh mencapai 98 peratus untuk melakukan peningkatan dalam tempoh dua tahun inilah.

“Ini memerlukan koordinasi daripada semua pihak yang terlibat, juga dalam kalangan agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat air dan juga pihak kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Ekspo dan Persidangan ASIAWATER 2024 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Air) PETRA, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri, Penasihat Kanan Informa Markets Asia, Jen.(B) Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed, Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, Penasihat ASIAWATER, Datuk Teo Yen Hua, Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa dan Presiden Persatuan Air Malaysia, Mohmad Asari Daud.

Akmal Nasir berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan matlamat utama Malaysia MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat sambil menyokong matlamat keenam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 6) iaitu memastikan ketersediaan dan pengurusan air dan sanitasi yang mampan untuk semua.

Beliau berkata, Perlis, Kedah dan Kelantan merupakan antara negeri yang dikesan mempunyai tahap air tidak terhasil (NRW) yang tinggi disebabkan air mengalir keluar apabila berlaku paip bocor yang menyukarkan penyaluran bekalan air bersih kepada pengguna.

Dalam pada itu, Akmal Nasir menerusi ucapan yang dibacakan bagi pihak Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PETRA sedang menumpukan terhadap empat inisiatif utama sebagai usaha memastikan bekalan air berterusan dan mencukupi, khususnya di kawasan terjejas kemarau.

Katanya, bagi mencapai matlamat berkenaan, PETRA mesti menjamin masa depan air yang boleh dipercayai dengan perancangan strategik, membangunkan infrastruktur air dan menangani kemampanan kewangan pengendali air, mengoptimumkan operasi di seluruh industri air serta membina ketahanan ke arah penyesuaian terhadap perubahan iklim dalam sistem air.

Related Articles

Back to top button