Nasional

Sultan Selangor berkenan Sambutan Ulang Tahun Ke-90 TLDM dibatalkan, ganti dengan majlis tahlil

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan agar sambutan Ulang Tahun dan Perbarisan Sempena Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 yang sepatutnya dijadualkan bermula pada Jumaat ini dibatalkan.

Menurut Selangor Royal Office dalam hantaran di laman Facebook, ia susulan nahas dua helikopter TLDM terhempas semasa raptai di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pagi Selasa yang mengorbankan 10 nyawa.

“Sebaliknya, satu majlis bacaan Yasin dan tahlil doa selamat akan diadakan bertempat di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM, Lumut sebelum Solat Jumaat,” menurut catatan itu.

Catatan itu turut memaklumkan bahawa Sultan Sharafuddin, selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, dijangka berangkat ke majlis berkenaan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa semua acara sempena Ulang Tahun ke-90 Perbarisan Hari TLDM di Pangkalan TLDM di Lumut dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi menghormati anggota keluarga serta waris 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam tragedi yang membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru helikopter Fennec TLDM.

Related Articles

Back to top button