Nasional

Aplikasi MYJalan terima lebih 14,000 aduan jalan rosak setakat ini – Ahmad

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerima sebanyak 14,031 aduan seperti jalan rosak dan berlubang menerusi aplikasi MYJalan bagi tempoh Ogos 2023 hingga 19 April lepas.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, 27 peratus atau 3,776 aduan melibatkan jalan seliaan Jabatan Kerja Raya, manakala 73 peratus atau 10,255 di bawah tanggungjawab kementerian lain.

“Bagaimanapun, kami mengambil tanggungjawab bukan hanya ingin menjaga jalan persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri.

“Kami juga menyalurkan maklumat terbabit kepada kementerian berbeza termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Bangsa Usahawan dan Kerajaan Perpaduan” terbitan Bernama TV pada Rabu.

Ahmad berkata, pihaknya juga telah menyelesaikan 86 peratus daripada 3,766 aduan diterima menerusi aplikasi itu yang berkaitan dengan kementeriannya setakat ini, manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Kami ada prosedur operasi standard yang akan sentiasa diperbaik, jika ada jalan berlubang di lebuh raya dan kawasan jalan persekutuan ia hendaklah ditampal dalam masa 24 jam.

“Setakat ini, 100 peratus kita tampal dalam tempoh 24 jam atau kurang,” katanya.

Terdahulu, KKR telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.

Menurut KKR dalam satu kenyataan, penglibatan tiga kementerian ini adalah penting kerana mempunyai bidang kuasa yang berkait selain penyelesaian masalah jalan yang memerlukan sinergi padu untuk diatasi.

Related Articles

Back to top button