Nasional

Juruterbang bomba jalani latihan tambahan secara simulasi di UAE

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menghantar juruterbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjalani latihan kecemasan helikopter secara simulasi bagi meningkatkan kemahiran anggota pasukan berkenaan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata bagi tujuan itu, JBPM telah diberikan peruntukan sebanyak RM800,000 untuk menghantar kesemua 17 juruterbang ke negara terbabit.

Beliau berkata, latihan simulasi itu penting bagi mengurangkan risiko kemalangan udara dan setakat ini, empat juruterbang JBPM telah dihantar menjalani latihan itu pada tahun lepas dan selebihnya diharap dapat diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.

“Latihan simulasi sudah lama dirancang, tetapi tertunda disebabkan isu Covid-19 serta diburukkan lagi dengan krisis antara Ukraine dan Rusia menyebabkan kita tidak dapat menggunakan fasiliti latihan simulasi helikopter yang ada di Ukraine.

“Tetapi, tahun lepas kita mendapati UAE ada dibangunkan fasiliti sama seperti di Ukraine dan kita mula menghantar pasukan JBPM ke sana sebanyak empat juruterbang pada November tahun lepas,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM di Kuantan, Pahang pada Rabu.

Berkata mengenai sambutan Hari Bomba Malaysia pada 4 Mei ini di Perak, Nor Hisham berkata antara persiapan dilakukan ialah menambah latihan penerjunan udara, Unit Udara Bomba daripada tiga hari kepada lima hari disebabkan faktor angin.

Related Articles

Back to top button