Pilihanraya

PRK Kuala Kubu Bharu: UMNO aktifkan ‘war room’ bantu menangkan calon kerajaan

UMNO mengaktifkan ‘war room’ bagi membantu dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata. UMNO sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya di bawah gabungan Kerajaan Perpaduan bagi mencapai kestabilan politik.

“UMNO akan melaksanakan kempen bagi membantu calon berkenaan dengan bersungguh-sungguh.

“Saya sendiri telah menemui Ketua UMNO Bahagian, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian pada minggu lepas untuk mengaktifkan jentera UMNO. Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah bertemu dengan Ketua-Ketua UMNO Cawangan dalam mesyuarat berkelompok pada Ahad lepas.

“Sebagai satu pasukan dalam Kerajaan Perpaduan kita menolong atas nama Pakatan Malaysia MADANI. Kita sepasukan inginkan kestabilan politik maka UMNO akan bantu calon ini,” katanya.

Ahmad berkata program seperti ceramah berkelompok dan mega perlu dilaksanakan bagi memberi penjelasan kepada akar umbi berkaitan isu-isu penting yang dimainkan pihak pembangkang termasuk isu 3R (kaum, agama dan raja).

“Saya lihat antara isu-isu yang akan ditimbulkan tentunya tentang kalimah Allah, afidavit addendum, itu saya kira antara isu-isu panas, termasuk juga dengan isu harga barang. Jangan dibiarkan isu itu tanpa jawapan.

“Kita akan atur perkara ini untuk buat penjelasan bukan hanya secara face-to-face tetapi juga melalui media sosial berhubung dengan apa jua isu yang mereka (pembangkang) timbul, kita akan jawab,” tambahnya.

BACA LAGI: Selangor lunas enam manifesto PRN negeri

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao,31 diumumkan calon mewakili kerajaan susulan kekosongan kerusi itu selepas penyandangnya Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Related Articles

Back to top button