Pilihanraya

SPR minta calon PRK Kuala Kubu Baharu patuhi peraturan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta bakal calon dan parti politik yang terlibat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, ia adalah bagi memastikan proses penamaan calon dapat berjalan dengan baik dan lancar.

“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon.

“Setiap bakal calon yang hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang dan penyokong calon untuk memasuki PPC,” katanya.

Selain itu, penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada HPC dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5]

“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

“Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan secara bersama atau berasingan yang diwakilinya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum HPC.

Indera berkata, langkah itu bagi melancarkan proses penamaan calon yang dijadualkan berlangsung pada 27 April ini di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Selain itu, bakal-bakal calon turut disaran untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada HPC sebagai bukti pembayaran.

“Setiap bakal calon yang hadir ke PPC hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC,” ujarnya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu akibat kanser dan SPR menetapkan hari pengundian pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK kali ini merupakan yang ketujuh diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Related Articles

Back to top button