Semasa

Belum 2 tahun jadi kerajaan, reputasi PN di Perlis sudah calar – Razlan

Seorang pemimpin UMNO melahirkan rasa terkejut apabila kerajaan Perlis terkait siasatan SPRM tidak sampai dua tahun pentadbiran negeri itu diambil alih Perikatan Nasional (PN).

“Dalam tempoh sesingkat itu, belum ada pencapaian yang benar-benar boleh dibanggakan, tetapi lain pula berlaku apabila kerajaan Perlis terpalit isu penyelewengan yang serius kerana ia melibatkan anak ketua pentadbiran negeri, serta orang kuat dalam pejabat Menteri Besar.

“Apa yang amat mengejutkan dan menimbulkan persoalan adalah bagaimana anak menteri besar yang tiada kena mengena dengan pentadbiran negeri, boleh terlibat sama dalam siasatan ini,” kata Mohd Razlan Rafii yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO melalui satu kenyataan pada Khamis.

Razlan merujuk penahanan anak Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, seorang pegawai kanan pejabat menteri besar dan lima individu lagi oleh SPRM.

Penahanan itu bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu terhadap kerja-kerja yang tidak dilaksanakan.

Sementara itu Razlan menegaskan, siasatan itu menunjukkan pentadbiran PN “tidaklah bersih seperti dikata” dan malah berbeza dengan tema PN iaitu “prihatin, bersih dan stabil”.

BACA LAGI: Dakwaan Mahkamah Sivil sebagai mahkamah kafir akan jahanamkan negara – Mufti Perlis

Razlan berkata dia juga menantikan reaksi pimpinan tinggi PAS dan PN memandangkan reputasi Mohd Shukri selaku menteri besar dan pemimpin PAS Perlis telah tercalar.

“Sebagai menteri besar dan pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri wajar mendedahkan apa peranan anaknya dalam kerajaan negeri? Begitu juga apa hubungan pegawai kanan Pejabat Menteri Besar dengan anaknya.

“Namun kini nasi telah menjadi bubur, kerajaan yang baru berusia setahun lima bulan telah pun tercalar reputasinya,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button