ekonomi

Malaysia akan teroka kerjasama dengan Bank Pembangunan Islam, pacu inovasi kewangan Islam

Malaysia akan meneroka kerjasama dengan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB) selari dengan minat negara untuk memacu inovasi kewangan Islam, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata, Malaysia memainkan peranan penting sebagai ahli pengasas.

Malaysia menyertai IsDB pada 12 Ogos 1974 dan keahlian semasa bank itu terdiri daripada 57 negara.

“Tahun ini adalah sambutan jubli IsDB, dan sejajar dengan minat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk Malaysia memacu inovasi kewangan Islam, Malaysia akan meneroka potensi kerjasama dengan IsDB,” katanya kepada Bernama.

Johan akan mewakili Kementerian Kewangan pada mesyuarat tahunan IsDB tahun ini dan jubli emas IsDB di Riyadh, Arab Saudi bermula 27 hingga 30 April.

Pada mesyuarat IsDB tahun lalu, Malaysia dan bank itu membincangkan kaedah untuk mengukuhkan hubungan dua hala di samping meninjau potensi kerjasama strategik dalam ekonomi halal, kewangan Islam dan pendigitalan. Ia turut melihat kaedah untuk memperkukuh peranan Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur.

Mesyuarat pada tahun ini akan disertai oleh menteri ekonomi, perancangan dan kewangan daripada 57 negara anggota IsDB dan memberi peluang untuk meneroka kaedah memperkuat hubungan ekonomi dalam kalangan negara anggota IsDB.

IsDB dalam kenyataan berkata, mesyuarat itu juga akan memaksimumkan kerjasama dengan institusi pembiayaan yang menyertainya.

Ia akan turut dihadiri oleh wakil institusi kewangan antarabangsa dan serantau, bank Islam, syarikat sektor swasta, institusi kewangan pembangunan nasional dan antarabangsa, organisasi global dan serantau, pertubuhan bukan kerajaan, dewan perniagaan dan industri, serta majlis perniagaan.

Related Articles

Back to top button