Uncategorized

Sultan Kedah seru umat Islam memperbetul pemahaman isi kandungan al-Quran, elak disalah tafsir

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah bertitah agar rakyat mempelajari, mendalami dan mengamalkan apa yang telah dinyatakan dalam Al-Quran.

Ia harus dilakukan dengan komited dan berterusan oleh semua umat Islam, yang ingin mendapatkan panduan, bimbingan serta manfaat daripadanya, agar memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat.

“Apa yang penting di sini ialah, perlunya membetulkan amalan melalui pemahaman dan kejelasan terhadap isi kandungan Al-Quran, ketika mentafsirkan ayat-ayat suci dan hukum-hukum-Nya, sebagaimana yang dikehendaki olehAllah Subhanahu Wata’ala,” titah baginda.

Baginda Tuanku Sultan Kedah bertitah demikian sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah bagi tahun 2024 di Kepala Batas, Alor Setar, pada Khamis.

Baginda Tuanku Sultan Kedah bertitah, terdapat pelbagai bentuk panduan dan bimbingan penting yang dibawa melalui kitab suci al-Quran khususnya kepada umat Islam dan seluruh umat manusia.

Melalui Al-Quran, masyarakat dapat mempelajari sejarah silam kehidupan manusia di masa lampau dan ianya menjadi panduan dan bimbingan kepada kehidupan pada masa kini.

Baginda bertitah, al-Quran juga memberi panduan mengenai pelbagai aspek kehidupan seperti hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, sains, politik, agama, undang-undang, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan, dan lain- lain.

“Al-Quran sebagai sebuah kitab yang amat istimewa serta membawa pelbagai jenis manfaat bukan sahaja terhadap umat Islam, malah kepada semua umat manusia di serata dunia.

“Untuk mempelajari, mendalami dan mengamalkan kitab suci al-Quran, adalah penting untuk kita fahami akan maksud, makna atau intipati, serta tafsiran yang ingin disampaikan melaluinya,” titah baginda.

Dalam majlis berkenaan Baginda Tuanku turut perkenan mengurniakan hadiah buat para qari dan qariah yang memenangi tempat pertama hingga ketiga bagi setiap kategori yang dipertandingkan sebelum berangkat pulang.

Related Articles

Back to top button