Semasa

Anwar tegaskan tidak mahu ambil gaji, termasuk elaun sebagai Pengerusi Khazanah

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulangkan semula elaun yang diterima sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad dan menyatakan pendiriannya untuk tidak menerima gaji atas perjawatan beliau sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak bercadang untuk menerima sebarang elaun atau gaji selagi keadaan ekonomi negara tidak pulih sebaiknya.

Berucap pada majlis penyampaian sumbangan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) di Putrajaya pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia termasuk elaun yang diterima sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad.

“Rupanya (sebagai) pengerusi (Khazanah) perdana menteri, semua ada elaun.

“Lepas beberapa bulan masuk akaun dalam bank iaitu elaun mesyuarat, saya beritahu saya tidak ambil. Saya pulangkan balik elaun Khazanah dan saya beritahu mesyuarat tadi jangan bayar elaun saya,” katanya.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI bakal perkenal SSPA terbaik untuk penjawat awam

Sementara itu tambahnya, beliau bekerja dengan bersemangat kerana pernah melalui kehidupan yang susah dan pengalaman itu mengajarnya untuk membantu semua rakyat di negara ini.

“Saya lalui cara hidup yang sangat susah dan derita, (susah dan derita) mengajar saya, apabila ada kuasa cuba sebaik mungkin untuk perbaiki nasib rakyat,” tambahnya.

Anwar pada sidang media pertamanya sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 berkata, beliau tidak akan mengambil gaji sebagai langkah pertama bagi menarik keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.

Related Articles

Back to top button