Nasional

Malaysia merupakan negara selamat untuk dikunjungi – Kedutaan AS

Malaysia dikategorikan sebagai negara yang selamat untuk dikunjungi, kata Kedutaan Amerika Syarikat (AS) biarpun terdapat dakwaan daripada seorang ahli akademik AS bahawa Malaysia tidak selamat untuk pengembara.

“Tiada perubahan dalam nasihat perjalanan AS untuk Malaysia yang kekal pada Tahap 1, tahap paling bawah daripada empat,” kata kedutaan sebagai respons terhadap dakwaan itu.

Semakan dengan Nasihat Perjalanan Biro Hubungan Konsular Amerika Syarikat menunjukkan Tahap 1 adalah tahap nasihat paling rendah untuk keselamatan dan risiko keselamatan.

“Pada Tahap 1, pengembara seharusnya mengamalkan langkah berjaga-jaga yang normal terhadap risiko biasa dan kebimbangan yang mereka mungkin berhadapan di mana-mana perjalanan antarabangsa,” kata nasihat perjalanan itu.

Di Tahap 4 pula, ia menasihatkan rakyat AS supaya tidak pergi ke negara terbabit atau meninggalkannya secepat mungkin.

Terdahulu, Pensyarah Sains Politik di Portland State University, Bruce Gilley menghantar gambar beliau menyampaikan syarahan di Universiti Malaya (UM) di laman X dan diikuti dengan kapsyen “Pemimpin politik Malaysia menggesa holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan jadi pemain yang serius dalam hal-ehwal dunia”.

Bagaimanapun, UM tampil memohon maaf kepada semua pihak sambil melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan kontroversi dibuat Gilley, ketika tampil sebagai penceramah jemputan universiti itu.

Related Articles

Back to top button