Anwar

PM Anwar adakan lawatan kerja ke Riyadh sempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Riyadh, Arab Saudi sempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (World Economic Forum – WEF) bermula hari ini sehingga Isnin (29 April).

Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, kehadiran Anwar adalah atas jemputan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Dalam kunjungan itu, beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz,

Wisma Putra berkata, Mesyuarat Khas yang bertemakan “Global Collaboration, Growth and Energy Development” akan dihadiri oleh Ketua-ketua Negara dan kerajaan serta pemimpin industri.

“Perbincangan akan tertumpu kepada isu pembangunan mampan, keselamatan tenaga, perdagangan dan pelaburan serta isu-isu geopolitik semasa.

“Perdana Menteri akan menyertai Sesi Panel bertemakan “New Vision for Global Development” bersama pemimpin-pemimpin negara lain semasa Pembukaan Mesyuarat Khas ini,” kata Wisma Putra.

Wisma Putra turut memberitahu, Perdana Menteri juga akan menyertai “Joint Regional Strategy Dialogue on ASEAN – Gulf Cooperation Council (GCC).”

Sesi ini diadakan khusus untuk mengetengahkan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025 dan Anwar akan menyampaikan ucaptama dalam sesi ini.

“Perdana Menteri juga akan menghadiri “Country Strategy Dialogue” di mana beliau akan berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang-peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.

“Sesi ini diadakan khas untuk membolehkan Malaysia mengetengahkan keutamaan strategik dan inisiatif negara, termasuk pertumbuhan ekonomi dan fiskal, serta peluang perdagangan dan pelaburan,” jelas kenyataan itu.

Semasa lawatan tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatan beliau bagi mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa.

Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Arab Saudi, kata Wisma Putra, akan mengukuhkan lagi hubungan erat yang sedia terjalin dengan Kerajaan Arab Saudi dan pada masa sama mengeratkan hubungan persahabatan peribadi di antara kedua pemimpin.

Related Articles

Back to top button