PRK DUN Kuala Kubu Bharu buka tirai, proses penamaan calon hari ini
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) akan membuka tirai hari ini.
Proses penamaan calon dijadualkan di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada jam 9 pagi dan proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga 11.59 malam, 10 Mei.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
Pada Rabu lalu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao dinamakan sebagai calon bagi mewakili Kerajaan Perpaduan.
Perikatan Nasional mempertaruhkan Khairul Azhari Saut sebagai calon mereka.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) melalui satu sidang media semalam sepakat untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu.
Bagaimanapun Parti Orang Asli Malaysia (Asli) diura-urakan akan meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya itu yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac 2024.
BACA LAGI: Komuniti India di KKB diseru buat pilihan bijak, tolak PN dalam PRK
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi sekaligus mengekalkan kerusi itu yang dimenanganinya sejak 2013.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.