Negeri

Amirudin nafi dakwaan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor langgar peraturan pilihan raya

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan bahawa penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri oleh kerajaan negeri di pekan Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Sabtu, melanggar peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

Beliau menjelaskan tidak wujud sebarang unsur kempen pada penganjuran rumah terbuka itu dan program tersebut tidak hanya terhad kepada penduduk KKB sebaliknya terbuka kepada semua warga Selangor.

“”Ini bukan program kempen atau parti politik tetapi (program) kerajaan negeri. Sepanjang program ini juga tidak ada langsung elemen kempen.

“Ia (penganjuran program itu) memang ikut giliran sebab sebelum ini kita buat di semua daerah dan kita memang pilih kawasan ini kerana kebetulan ia lokaliti pertama rumpun Selangor oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Melihat respons yang baik jadi kita buat di sini…sambutan Tahun Baharu Cina telah berlangsung di Dengkil atau di Daerah Sepang baru-baru ini, jadi mungkin nanti sambutan merdeka kita boleh gilirkan (lokasi) untuk rapat dengan komuniti atau masyarakat,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bahawa penganjuran rumah terbuka itu boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam AKPR.

Terdahulu, lebih 30,000 pengunjung pelbagai kaum memeriahkan rumah terbuka negeri di pekan Kuala Kubu Baharu, Selangor pada Sabtu.

Bermula jam 8 sehingga 11 malam, program diserikan dengan kehadiran Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, barisan Exco, wakil rakyat dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkenal Naim Daniel, Ella, Ernie Zakri, Aiman Tino, Sarah Suhairi dan tarian artis Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Related Articles

Back to top button