KEADILAN kerah kekuatan jentera, tangkis kempen fitnah pembangkang terkait masyarakat India
KEADILAN mengerah kesemua kekuatan jenteranya bagi menangkis kempen fitnah yang menyeru masyarakat India tidak turun mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 11 Mei ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, pimpinan dan anggota parti termasuk Ketua Komuniti India telah bersedia menangkis sebarang fitnah jahat dengan mengerakkan ‘task force’ (pasukan petugas).
“Wakil pemimpin daripada Cabang KEADILAN dan komuniti akan sedaya upaya mencari jalan menanggani masalah fitnah yang menggesa masyarakat India tidak turun mengundi.
“Kami optimis perkara itu dapat ditanggani dan pengundi KKB dapat membuat keputusan terbaik memilih calon daripada Pakatan Harapan (PH).
“PH optimis dengan prestasi cemerlang yang ditinggalkan oleh mendiang Lee Kee Hiong sebagai ADUN tiga penggal di kawasan itu sehingga mampu memberi kelebihan buat blok Perpaduan mempertahankan kerusi berkenaan,” katanya.
Tambahnya, keputusan pengundi pada saat-saat akhir juga adalah mustahak bagi memastikan kemenangan di kawasan berkenaan dapat dipertahankan.
“Keputusan pengundi itu mustahak, oleh itu kita wajib pastikan kemenangan calon PH supaya khidmat dan legasi yang ditinggalkan mendiang Lee Kee Hiong dapat diteruskan,” ujarnya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Kee Hiong 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Untuk rekod, DUN Kuala Kubu Baharu terdiri daripada 46.4 peratus pengundi Melayu, Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).