Nasional

Kerajaan Madani terbuka terima pandangan, kritikan daripada mana-mana pihak – Adam Adli

Kerajaan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan daripada mana-mana pihak, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Beliau berkata, soal keterbukaan antara kerisauan yang diutarakan golongan belia pada program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) inisiatif kementeriannya menerusi Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBSN).

“Ada persoalan-persoalan yang menyentuh tentang keterbukaan kerajaan dalam berhadapan dengan kritikan dan sebagainya.

“…(justeru) kita (kerajaan) beri jaminan, bahawa kerajaan sentiasa bersifat terbuka dari semasa ke semasa, dalam masa sama kita tidak boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya selepas merasmikan Kembara JOM Peringkat Negeri Johor pada Sabtu.

Menurut Adam Adli, pandangan tentang peluang pekerjaan, pendidikan dan pindaan Akta 668 yang merangkumi penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun turut mendapat perhatian golongan belia.

“Ini semua adalah tanda atau indikator bahawa golongan belia menerusi program ini dapat memberi tumpuan kepada isu sebenar yang melingkari kehidupan dan persekitaran mereka, ini saya puji.

“Jadi kita sebagai kerajaan perlu ambil maklum dan buat yang terbaik untuk pastikan kita dapat jawab (persoalan mereka),” katanya.

Terdahulu, KBS telah menggerakkan Program Kembara JOM sebagai platform mendapatkan maklum balas serta pandangan terhadap Pelan Transisi Kepimpinan Belia di negara ini.

Adam Adli berkata, ia juga adalah program dua dalam satu iaitu meraikan aktiviti, mempromosi gaya hidup Rakan Muda selain sesi temu rapat bersama pertubuhan belia sempena proses transisi umur belia.

Related Articles

Back to top button