KPM pastikan kebajikan, pendidikan anak 10 wira negara terbela
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan anak kepada wira negara yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak minggu lalu akan mendapat pembelaan dari sudut kebajikan dan pendidikan.
Ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka anjuran pusat khidmatnya di Nibong Tebal malam tadi Fadhlina berkata, pihaknya mengenal pasti 10 anak tentera berkenaan yang bersekolah di bawah kendalian kementeriannya.
“Kementerian Pendidkan (KPM) akan teruskan dari segi pembelaan mereka dalam sudut pendidikan, begitu juga bantuan khususnya mengenai pendidikan mereka.
“Kita akan buat susur tindak bagi memastikan kebajikan dijaga sehingga mereka tamat persekolahan.
“Di bawah jagaan KPM ada 10 orang yang masih bersekolah. Kita beri tumpuan penuh pendidikan mereka secara keseluruhannya dan kita tahu mana mereka bersekolah, kebajikan mereka akan dijaga,” katanya.
Selasa lalu, negara dikejutkan dengan insiden dua helikopter milik TLDM terhempas ketika menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.
Insiden di Pangkalan TLDM Lumut itu mengorbankan semua 10 anggota dalam dua pesawat terbabit.
BACA LAGI: Kerajaan MADANI salur bantuan awal kepada waris mangsa
Sementara itu menurut Fadhlina, susulan kejadian itu pihaknya menyalurkan bantuan menerusi Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dan Yayasan Didik Negara (YDN).
“Bantuan disampaikan kepada keluarga dan anak-anak mangsa terbabit,” tambahnya.